NotaSejarah.my
Sejarah KSSM · Tingkatan 4 · SPM

Nota Sejarah Tingkatan 4 KSSM: Ringkasan Bab 1 hingga 10

Sejarah Tingkatan 4 ada 10 bab, bermula dengan Warisan Negara Bangsa (Bab 1) dan berakhir dengan Pemasyhuran Kemerdekaan (Bab 10). Setiap bab di bawah diringkaskan kepada isi penting, istilah dan tarikh yang perlu diingat.

Oleh Edwin TanDikemas kini

Nota Tingkatan 5

Nak simpan sebagai PDF? Tekan butang cetak, kemudian pilih "Simpan sebagai PDF". Menu dan iklan tidak ikut dicetak.

10 bab Tingkatan 4 dan padanan DSKP

Buku teks menomborkan bab dari 1 hingga 10. DSKP pula menyambung nombor tajuk dari tingkatan sebelumnya, jadi Tingkatan 4 bermula pada Tajuk 9. Jadual ini memadankan kedua-duanya.

Nota di sini ditulis sendiri berdasarkan senarai tajuk dalam DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 dan 5 (BPK, KPM, 2018). Tiada ayat, rajah atau soalan yang disalin daripada buku teks. Untuk huraian penuh, baca bab berkenaan dalam buku teks sekolah.

Bab 1: Warisan Negara Bangsa

DSKP 9.1 Warisan Negara Bangsa

Bab ini tentang kerajaan Melayu sebelum kuasa Barat tiba, terutamanya Kesultanan Melayu Melaka. Soalan besarnya: apa yang menjadikan Melaka sebuah negara bangsa?

Ciri negara bangsa sebelum kedatangan Barat

  • Kerajaan yang berdaulat
  • Wilayah pengaruh yang jelas
  • Rakyat yang taat setia
  • Raja dan pembesar
  • Undang-undang bertulis
  • Bahasa dan agama dikongsi

Isi penting

  1. Parameswara mengasaskan Melaka sekitar 1400. Di puncak kuasanya, Melaka menaungi kebanyakan negeri di Semenanjung dan beberapa wilayah di seberang Selat Melaka, di pantai timur Sumatera.
  2. Melaka terletak di laluan antara Asia Timur dan Asia Barat. Kedudukan ini menjadikannya pusat perdagangan, khususnya rempah.
  3. Pentadbirannya tersusun. Raja berada di puncak, dibantu pembesar seperti Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Hukum Kanun Melaka menjadi panduan undang-undang di darat.
  4. Hubungan raja dan rakyat berasaskan konsep daulat dan taat setia. Rakyat tidak menderhaka, dan raja diharap memerintah dengan adil.
  5. Selepas pemerintah Melaka memeluk Islam, agama itu tersebar dan dianuti kebanyakan penduduk. Bahasa Melayu pula digunakan dalam perdagangan dan pentadbiran.
  6. Kesinambungan ini terganggu apabila Portugis menawan Melaka pada 1511. Belanda menguasainya pada 1641, dan British pula selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Istilah

Negara bangsa
Negara berdaulat yang ada wilayah, rakyat dan pemerintah sendiri, dan rakyatnya berkongsi identiti seperti bahasa dan budaya.
Kedaulatan
Kuasa tertinggi pemerintah ke atas wilayah dan rakyatnya, tanpa campur tangan kuasa luar.
Daulat
Kemuliaan dan kuasa raja yang dihormati rakyat.
Derhaka
Tidak taat, atau menentang raja.

Tarikh dalam bab ini

  • Sekitar 1400Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara.
  • 1511Melaka jatuh ke tangan Portugis.
  • 1641Belanda mengambil alih Melaka daripada Portugis.
  • 1824Perjanjian Inggeris-Belanda membahagikan wilayah pengaruh British dan Belanda; Melaka diserahkan kepada British.

Bab 2: Kebangkitan Nasionalisme

DSKP 9.2 NasionalismeDSKP 9.3 Nasionalisme di Negara Kita

Nasionalisme ialah semangat cinta akan bangsa dan tanah air sehingga timbul keinginan untuk bebas daripada penjajah. Bab ini menjejak idea itu dari satu tempat ke tempat lain.

  1. Barat
  2. Asia
  3. Asia Tenggara
  4. Tanah Melayu

Kenapa nasionalisme muncul di negara kita

FaktorApa yang berlaku
PendidikanGolongan yang belajar di Timur Tengah dan di sekolah tempatan mula mempersoalkan penjajahan.
Media cetakAkhbar, majalah, cerpen dan novel menyebarkan idea baharu. Al-Imam mula terbit di Singapura pada 1906.
Dasar BritishTaraf sosioekonomi orang Melayu kekal rendah, sementara kemasukan buruh imigran mengubah komposisi penduduk.
PersatuanPersatuan seperti KMS dan KMM memberi wadah untuk berbincang dan bertindak.

Isi penting

  1. Kesedaran nasionalisme di negara kita berkembang pada 1920-an dan 1930-an, apabila lebih ramai penduduk mendapat pendidikan.
  2. Di Asia dan Asia Tenggara, gerakan kebangsaan muncul untuk menentang penjajahan. Perkembangan di negara jiran memberi contoh kepada penduduk Tanah Melayu.
  3. Persatuan mula ditubuhkan. KMS (1926) diketuai Mohamed Eunos Abdullah, manakala KMM (1938) dipimpin Ibrahim Haji Yaacob.
  4. Kesannya, kesedaran politik meningkat dan asas perjuangan kemerdekaan selepas perang sudah tersedia.

Istilah

Nasionalisme
Semangat cinta akan bangsa dan tanah air, termasuk keinginan untuk menentukan nasib sendiri.
Imperialisme
Dasar kuasa besar meluaskan pengaruh dan menguasai wilayah lain.
Media cetak
Akhbar, majalah dan buku yang menyebarkan maklumat dan idea secara bertulis.

Tarikh dalam bab ini

  • Julai 1906Al-Imam mula terbit di Singapura (hingga Disember 1908).
  • 1926Kesatuan Melayu Singapura (KMS) ditubuhkan; presiden pertama Mohamed Eunos Abdullah.
  • 1938Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan; dipimpin Ibrahim Haji Yaacob.

Bab 3: Konflik Dunia dan Pendudukan Jepun di Negara Kita

DSKP 10.1 Konflik DuniaDSKP 10.2 Perjuangan Rakyat Semasa Pendudukan Jepun

Dua bahagian. Mula-mula Perang Dunia secara umum, kemudian kisah Jepun di Tanah Melayu dari 1941 hingga 1945.

Isi penting

  1. Perang Dunia Kedua merebak ke Asia Pasifik apabila Jepun mara ke selatan. Jepun mahukan bahan mentah seperti bijih timah dan getah, dan Tanah Melayu ada kedua-duanya.
  2. Jepun mendarat di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. British berundur ke selatan dan akhirnya menyerah kalah di Singapura pada 15 Februari 1942.
  3. Semasa pendudukan, Jepun memerintah melalui pentadbiran tentera. Kawalan sangat ketat dan rakyat hidup susah, terutamanya kerana kekurangan makanan.
  4. Ada yang menentang. Leftenan Adnan Saidi dan Rejimen Askar Melayu bertahan di Bukit Chandu pada Februari 1942. MPAJA pula bergerak secara gerila menentang Jepun sepanjang pendudukan.
  5. Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945 selepas bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki.
  6. Sebelum British kembali, berlaku kekosongan kuasa. Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil peluang ini untuk cuba menguasai Tanah Melayu.

Istilah

Pendudukan
Penguasaan sesebuah wilayah oleh tentera asing selepas menaklukinya.
Gerila
Cara berperang secara serang hendap dalam kumpulan kecil, kemudian berundur dan bersembunyi.
Kekosongan kuasa
Tempoh apabila tiada pihak yang benar-benar memerintah.

Tarikh dalam bab ini

  • 8 Disember 1941Tentera Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan.
  • Februari 1942Leftenan Adnan Saidi dan Rejimen Askar Melayu bertahan di Bukit Chandu (Pasir Panjang).
  • 15 Februari 1942British menyerah kalah kepada Jepun di Singapura.
  • Ogos 1945Jepun menyerah kalah selepas bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki.

Bab 4: Era Peralihan Kuasa British di Negara Kita

DSKP 10.3 Era Peralihan Kuasa British di Negara Kita

Selepas Jepun kalah, British kembali dan menyusun semula tanah jajahannya. Tiga peristiwa perlu dikuasai: Malayan Union, penyerahan Sarawak dan penyerahan Sabah.

WilayahApa berlakuReaksi atau kesan
Tanah MelayuMalayan Union ditubuhkan, 1 April 1946Bantahan besar orang Melayu: Kongres Melayu SeMalaya dan penubuhan UMNO
SarawakRajah Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada British, berkuat kuasa 1 Julai 1946Gerakan antipenyerahan. Rosli Dhoby menikam Gabenor Duncan Stewart di Sibu pada 3 Disember 1949
Sabah (Borneo Utara)Syarikat Borneo Utara British menyerahkan Sabah kepada kerajaan British, Julai 1946Sabah menjadi tanah jajahan mahkota, diperintah terus oleh kerajaan British

Malayan Union: apa yang dibantah

  1. Pentadbiran Tentera British (BMA) memerintah dari September 1945 hingga Mac 1946, sebelum Malayan Union.
  2. Malayan Union menyatukan negeri-negeri Melayu dengan Pulau Pinang dan Melaka di bawah seorang Gabenor, Sir Edward Gent. Singapura diasingkan.
  3. Raja-raja Melayu kehilangan kuasa kecuali dalam hal agama Islam dan adat istiadat Melayu, dan hak keistimewaan orang Melayu tergugat. Raja-raja Melayu tidak hadir pada istiadat perasmiannya.
  4. Kongres Melayu SeMalaya pertama diadakan pada Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. 41 persatuan Melayu hadir.
  5. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru, dengan Dato' Onn Jaafar sebagai Yang Dipertua pertama.

Istilah

Tanah jajahan mahkota
Wilayah yang diperintah terus oleh kerajaan British, bukan melalui raja tempatan atau syarikat.
Penyerahan
Pemindahan kuasa ke atas sesebuah wilayah kepada pihak lain.
Antipenyerahan
Gerakan menentang penyerahan Sarawak kepada British.

Tarikh dalam bab ini

  • September 1945 hingga Mac 1946Pentadbiran Tentera British (BMA) memerintah Tanah Melayu.
  • Mac 1946Kongres Melayu SeMalaya pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru; 41 persatuan Melayu hadir.
  • 1 April 1946Malayan Union ditubuhkan.
  • 11 Mei 1946UMNO ditubuhkan di Istana Besar, Johor Bahru; Dato' Onn Jaafar Yang Dipertua pertama.
  • 1 Julai 1946Penyerahan Sarawak oleh Rajah Charles Vyner Brooke kepada British berkuat kuasa.
  • Julai 1946Borneo Utara (Sabah) menjadi tanah jajahan mahkota British.
  • 3 Disember 1949Rosli Dhoby menikam Gabenor Sarawak Duncan Stewart di Sibu.

Bab 5: Persekutuan Tanah Melayu 1948

DSKP 10.4 Persekutuan Tanah Melayu 1948

Bantahan terhadap Malayan Union berhasil. British berunding dengan Raja-raja Melayu dan UMNO, kemudian menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Malayan Union lawan Persekutuan Tanah Melayu

PerkaraMalayan Union 1946Persekutuan 1948
KetuaGabenor BritishPesuruhjaya Tinggi British
Raja-raja MelayuHilang kuasa kecuali dalam hal agama Islam dan adat istiadat MelayuKedudukan sebagai pemerintah negeri dikembalikan
Hak orang MelayuTergugatHak istimewa diiktiraf
KerakyatanSyarat longgarSyarat diperketat
SingapuraDiasingkanKekal di luar

Isi penting

  1. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 21 Januari 1948. Persekutuan berkuat kuasa pada 1 Februari 1948.
  2. Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara rasmi pada 1948. Majlis Perundangan Persekutuan membuat undang-undang untuk seluruh Persekutuan.
  3. Persekutuan 1948 bukan kemerdekaan. British masih berkuasa melalui Pesuruhjaya Tinggi, tetapi susunan inilah yang menjadi asas sistem persekutuan hari ini.

Istilah

Persekutuan
Gabungan beberapa negeri di bawah satu kerajaan pusat, dengan setiap negeri mengekalkan kuasa tertentu.
Pesuruhjaya Tinggi
Wakil kerajaan British yang mengetuai pentadbiran Persekutuan.
Majlis Perundangan Persekutuan
Badan yang membuat undang-undang bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh dalam bab ini

  • 21 Januari 1948Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani.
  • 1 Februari 1948Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, menggantikan Malayan Union.

Bab 6: Ancaman Komunis dan Pengisytiharan Darurat

DSKP 10.5 Ancaman Komunis dan Pengisytiharan Darurat 1948

PKM mahu menguasai Tanah Melayu melalui kekerasan. Keganasan itu membawa kepada darurat yang berlarutan sehingga 1960.

Isi penting

  1. Selepas Jepun berundur, PKM cuba mengisi kekosongan kuasa dan menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamatnya.
  2. Pada 16 Jun 1948, tiga pengurus ladang Eropah dibunuh di Sungai Siput, Perak. Pada bulan yang sama, Pesuruhjaya Tinggi Sir Edward Gent mengisytiharkan darurat, bermula di Perak dan Johor, kemudian diluaskan ke seluruh Persekutuan.
  3. Keganasan berterusan. Balai polis Bukit Kepong di Johor diserang pada 1950, dan Pesuruhjaya Tinggi Sir Henry Gurney dibunuh pada Oktober 1951 berhampiran Bukit Fraser.

Usaha menangani ancaman komunis

LangkahBilaTujuan
Rancangan Briggs (Leftenan Jeneral Sir Harold Briggs)1950Memindahkan penduduk ke kampung baru supaya komunis terputus bekalan makanan dan maklumat
Jeneral Sir Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi1952Menggabungkan operasi tentera dengan usaha memenangi hati rakyat
Rundingan Baling28 hingga 29 Disember 1955Tunku Abdul Rahman dan David Marshall bertemu Chin Peng. Rundingan gagal

Darurat ditamatkan pada 31 Julai 1960. Kesannya panjang: kampung baru mengubah corak penempatan, dan kawalan keselamatan menjadi sebahagian hidup rakyat selama 12 tahun.

Istilah

Darurat
Keadaan bahaya yang membolehkan kerajaan menggunakan kuasa khas untuk memulihkan keamanan.
Kampung baru
Penempatan berkawal untuk penduduk yang dipindahkan di bawah Rancangan Briggs.
Subversif
Kegiatan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah.

Tarikh dalam bab ini

  • 16 Jun 1948Tiga pengurus ladang Eropah dibunuh komunis di Sungai Siput, Perak.
  • Jun 1948Pesuruhjaya Tinggi Sir Edward Gent mengisytiharkan darurat, bermula di Perak dan Johor, kemudian diluaskan ke seluruh Persekutuan.
  • 1950Rancangan Briggs: penduduk dipindahkan ke kampung baru supaya bekalan kepada komunis terputus.
  • 1950Peristiwa Bukit Kepong, Johor: balai polis diserang komunis.
  • Oktober 1951Pesuruhjaya Tinggi Sir Henry Gurney dibunuh komunis berhampiran Bukit Fraser.
  • 1952Jeneral Sir Gerald Templer menjadi Pesuruhjaya Tinggi.
  • 28 hingga 29 Disember 1955Rundingan Baling antara Tunku Abdul Rahman dan David Marshall dengan Chin Peng; gagal.
  • 31 Julai 1960Darurat ditamatkan.

Bab 7: Usaha ke Arah Kemerdekaan

DSKP 11.1 Usaha-usaha ke Arah Kemerdekaan

Selepas 1948, pemimpin tempatan bersiap untuk memerintah sendiri. Empat usaha utama: perbincangan antara kaum, Sistem Ahli, sistem pendidikan kebangsaan dan parti politik.

Isi penting

  1. Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) ditubuhkan pada 1949. Pemimpin pelbagai kaum duduk semeja membincangkan isu antara kaum, satu latihan awal bertolak ansur.
  2. Sistem Ahli diperkenalkan pada 1951. Pemimpin tempatan diberi tanggungjawab mengetuai jabatan kerajaan seperti menteri. Dato' Onn Jaafar, misalnya, menjadi Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri.
  3. Laporan Razak (1956) menjadi asas Ordinan Pelajaran 1957 dan sistem pendidikan kebangsaan yang bertujuan menyatukan rakyat.
  4. Parti politik ditubuhkan untuk mewakili rakyat dan menuntut kemerdekaan.
Parti awal yang perlu diingat
PartiDitubuhkanPemimpin awal
UMNO11 Mei 1946Dato' Onn Jaafar
MICOgos 1946John Thivy
MCA27 Februari 1949Tan Cheng Lock
IMP1951Dato' Onn Jaafar, selepas keluar daripada UMNO. Keahlian dibuka kepada semua kaum

Istilah

Sistem Ahli
Susunan yang memberi pemimpin tempatan tugas seperti menteri, sebagai latihan sebelum merdeka.
Tolak ansur
Sanggup memberi dan menerima demi persetujuan bersama.
Parti politik
Pertubuhan yang bertanding dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

Tarikh dalam bab ini

  • Ogos 1946MIC ditubuhkan; John Thivy presiden pertama.
  • 1949Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) ditubuhkan.
  • 27 Februari 1949MCA ditubuhkan; dipimpin Tan Cheng Lock.
  • 1951Sistem Ahli diperkenalkan dalam Majlis Perundangan Persekutuan.
  • 1951Dato' Onn Jaafar menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
  • 1956Laporan Razak, asas Ordinan Pelajaran 1957.

Bab 8: Pilihan Raya

DSKP 11.2 Pilihan Raya

Pilihan raya membuktikan rakyat pelbagai kaum boleh bekerjasama dan bersedia memerintah sendiri.

9 / 12kerusi dimenangi UMNO-MCA, Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, Februari 1952
51 / 52kerusi dimenangi Perikatan, PRU pertama, 27 Julai 1955
1kerusi dimenangi PAS pada 1955

Isi penting

  1. Pilihan raya bermula di peringkat tempatan. Dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, Februari 1952, gabungan UMNO dan MCA menang besar. Gabungan inilah yang menjadi Perikatan.
  2. Pilihan Raya Umum pertama diadakan pada 27 Julai 1955 untuk memilih ahli Majlis Perundangan Persekutuan. Daripada 52 kerusi, Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) menang 51.
  3. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri dan membentuk kabinet pertama yang dianggotai wakil pelbagai kaum.
  4. Kemenangan besar itu memberi Perikatan mandat yang kuat untuk menuntut kemerdekaan di London.

Istilah

Pilihan raya umum
Pengundian untuk memilih wakil rakyat di seluruh negara pada masa yang sama.
Perikatan
Gabungan parti UMNO, MCA dan MIC yang bertanding sebagai satu pasukan.
Mandat
Kuasa dan kepercayaan yang diberikan rakyat melalui undi.

Tarikh dalam bab ini

  • Februari 1952Pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur: gabungan UMNO-MCA menang 9 daripada 12 kerusi.
  • 27 Julai 1955Pilihan Raya Umum pertama: Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi.

Bab 9: Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957

DSKP 11.3 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957

Bab ini menunjukkan bagaimana perlembagaan untuk negara merdeka digubal, langkah demi langkah.

  1. Rundingan London
  2. Suruhanjaya Reid
  3. Laporan Reid
  4. Perlembagaan 1957

Isi penting

  1. Rombongan Tanah Melayu berunding dengan British di London. Perjanjian London ditandatangani pada 8 Februari 1956 dan membuka jalan kepada kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
  2. Suruhanjaya Reid dilantik untuk merangka perlembagaan. Ia bersidang 118 kali antara Jun dan Oktober 1956 dan menerima 131 memorandum.
  3. Laporan Reid diterbitkan pada Februari 1957. Draf itu dikaji dan dipinda sebelum diluluskan, dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dimeterai.
  4. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu berkuat kuasa pada Hari Merdeka.
Ahli Suruhanjaya Reid
AhliNegara
Lord Reid (pengerusi)Britain
Sir Ivor JenningsBritain
Sir William McKellAustralia
Hakim B. MalikIndia
Hakim Abdul HamidPakistan

Istilah

Perlembagaan
Undang-undang tertinggi yang menentukan cara negara diperintah serta hak dan tanggungjawab rakyat.
Suruhanjaya
Kumpulan yang dilantik untuk menyiasat dan membuat cadangan tentang sesuatu perkara.
Memorandum
Cadangan bertulis yang dihantar kepada pihak yang membuat keputusan.

Tarikh dalam bab ini

  • 8 Februari 1956Perjanjian London ditandatangani; Tanah Melayu dijangka merdeka pada 31 Ogos 1957.
  • Jun hingga Oktober 1956Suruhanjaya Reid bersidang 118 kali dan menerima 131 memorandum.
  • Februari 1957Laporan Suruhanjaya Reid diterbitkan.

Bab 10: Pemasyhuran Kemerdekaan

DSKP 11.4 Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu

Detik kemerdekaan, dari pengumuman tarikh di Melaka hingga Persekutuan Tanah Melayu diterima menjadi anggota PBB.

Isi penting

  1. Kemerdekaan bermaksud negara bebas daripada penjajahan dan berhak menentukan hala tujunya sendiri.
  2. Sekembalinya dari London, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka, pada 20 Februari 1956.
  3. Tengah malam menjelang 31 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan di Padang Kelab Selangor, kini Dataran Merdeka.
  4. Pada 31 Ogos 1957, Tunku membacakan Pemasyhuran Kemerdekaan di Stadium Merdeka, disambut laungan "Merdeka".
  5. Persekutuan Tanah Melayu kini berdaulat, mempunyai perlembagaan sendiri dan Yang di-Pertuan Agong pertama. Pada 17 September 1957, ia menjadi anggota PBB.

Istilah

Pemasyhuran
Pengumuman rasmi kepada umum.
Kemerdekaan
Bebas daripada penjajahan dan berkuasa penuh ke atas negara sendiri.
Hari Merdeka
31 Ogos 1957, tarikh Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan perlembagaannya berkuat kuasa.

Tarikh dalam bab ini

  • 20 Februari 1956Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.
  • Tengah malam menjelang 31 Ogos 1957Bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka).
  • 31 Ogos 1957Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Kemerdekaan di Stadium Merdeka.

Soalan lazim

Sejarah Tingkatan 4 ada berapa bab?

10 bab, semuanya di bawah tema Pembinaan Negara.

Ada nota Sejarah Tingkatan 4 dalam bentuk PDF?

Kami tidak memuat naik fail PDF. Tekan butang "Cetak atau simpan PDF" di bahagian atas, kemudian pilih "Simpan sebagai PDF" sebagai pencetak. Hasilnya hanya nota, tanpa menu dan iklan. Kalau butang tidak berfungsi dalam aplikasi seperti WhatsApp atau Facebook, buka laman ini dalam Chrome atau Safari dahulu.

Cukupkah nota ringkas ini untuk ulang kaji SPM?

Ia ringkasan untuk ulang kaji pantas dan menyemak tarikh. Untuk huraian, contoh dan latihan, guna buku teks dan nota guru. Kami tidak meramal soalan peperiksaan.

Kenapa nombor tajuk DSKP berbeza daripada nombor bab?

DSKP menomborkan tajuk secara bersambung dari tingkatan sebelumnya. Tingkatan 4 bermula pada Tajuk 9 dan Tingkatan 5 pada Tajuk 12, manakala buku teks setiap tingkatan bermula semula dari Bab 1.

Sambung ke nota Sejarah Tingkatan 5, atau hafal semua tarikh sekali gus dalam jadual tarikh penting Sejarah SPM.

Sumber rujukan

Tarikh dan fakta dalam nota ini disemak dengan sumber di bawah. Jika dua sumber tidak sepakat tentang hari, kami tulis bulan atau tahun sahaja.

  1. DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 dan 5 (BPK, KPM, 2018)
  2. Portal MyGov: Sejarah Malaysia (rujukan Jabatan Penerangan)
  3. Arkib Negara Malaysia, Pustaka Ilmu: Malayan Union, teladan buat generasi kini
  4. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: senarai negara anggota
  5. BiblioAsia (NLB), Jan 2010: Sumbangan Cendekiawan Peranakan Arab dalam Persuratan Melayu
  6. Infopedia NLB: Kesatuan Melayu Singapura
  7. Jurnal Kinabalu (UMS), Dis 2020: ulasan Social Roots of the Malay Left
  8. Infopedia NLB: Lieutenant Adnan Saidi
  9. New Straits Times: Kongres Melayu 1946
  10. Bernama: ulang tahun ke-80 UMNO (Mei 2026)
  11. Portal Kerajaan Sarawak: sejarah penyerahan
  12. Portal Kerajaan Negeri Sabah: People & History
  13. Kajian Malaysia 36(1), 2018 (USM): kajian tentang MIC, 1946 hingga 1951
  14. Archontology.org: Malaysia, polity style (Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948)
  15. Dewan Negeri Selangor: sejarah (Sistem Ahli 1951)
  16. Infopedia NLB: Malayan Emergency
  17. Arkib Negara Malaysia, Pustaka Ilmu: Gerakan Komunis di Tanah Melayu
  18. MCA: History
  19. Borneo Post, Mac 2018: Rosli Dhoby
  20. Polis Diraja Malaysia: sejarah Bukit Kepong
  21. New Straits Times, Nov 2015: Tunku's rise and fall
  22. Infopedia NLB: Communist Party of Malaya (Rundingan Baling)
  23. Kementerian Pendidikan Malaysia: Imbasan Sejarah (Penyata Razak 1956)
  24. Arkib Negara Malaysia, Pustaka Ilmu: Suruhanjaya Perlembagaan Reid
  25. Hansard UK, Dewan Rakyat British 12 Julai 1957
  26. Malay Mail, Ogos 2017: kenangan malam 30 Ogos 1957 di padang Kelab Selangor
  27. Arkib Negara Malaysia, Pustaka Ilmu: 50 Tahun Tamat Darurat
  28. Wikipedia: Malayan Union
  29. Wikipedia: Malacca Sultanate
  30. Wikipedia: Al-Imam
  31. Wikipedia: Battle of Pasir Panjang
  32. Wikipedia: British Military Administration (Malaya)
  33. Wikipedia: Crown Colony of North Borneo
  34. Wikipedia: Malaysian Indian Congress
  35. Wikipedia: Federation of Malaya
  36. Wikipedia: Malayan Emergency
  37. Wikipedia: Communities Liaison Committee
  38. Wikipedia: Malaysian Chinese Association
  39. Wikipedia: Rosli Dhobi
  40. Wikipedia: Briggs Plan
  41. Wikipedia: Bukit Kepong incident
  42. Wikipedia: Member System
  43. Wikipedia: Independence of Malaya Party
  44. Wikipedia: Henry Gurney
  45. Wikipedia: Alliance Party (Malaysia)
  46. Wikipedia: 1955 Malayan general election
  47. Wikipedia: Baling Talks
  48. Wikipedia: Razak Report
  49. Wikipedia: Reid Commission
  50. Wikipedia: Merdeka Square, Kuala Lumpur

Tentang, privasi dan penafian

Tentang NotaSejarah.my

NotaSejarah.my ialah laman nota ulang kaji Sejarah KSSM untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5. Laman ini ditulis dan diselenggara oleh Edwin Tan.

Setiap nota ditulis semula dalam bahasa sendiri, berpandukan senarai tajuk dalam DSKP. Kami tidak menyalin teks, rajah atau soalan daripada buku teks, dan tidak memuat naik fail PDF milik orang lain.

Laman ini bebas dan tiada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Lembaga Peperiksaan atau mana-mana penerbit buku teks.

Hubungi

E-mel: hello@notasejarah.my

Jumpa tarikh atau fakta yang salah? Hantar e-mel dengan nama bab dan sumber yang anda rujuk. Kami semak dan betulkan.

Penafian

Nota di sini ialah ringkasan untuk ulang kaji, bukan pengganti buku teks atau pengajaran guru. Tarikh disemak dengan sumber yang disenaraikan pada 19 Oktober 2026. Jika sumber tidak sepakat tentang hari, kami tulis bulan atau tahun sahaja.

Privasi

Laman ini tiada borang dan tidak meminta anda mendaftar. Jika anda menghantar e-mel kepada kami, alamat dan isi e-mel itu digunakan hanya untuk membalas, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Data yang dikumpul secara automatik melalui analitik dan kuki diterangkan di bawah.

Kami mungkin menggunakan alat analitik (jika ada) untuk mengira lawatan secara agregat, seperti halaman mana yang dibaca dan dari negara mana. Data ini tidak digunakan untuk mengenal pasti anda.

Laman ini mungkin memaparkan iklan Google AdSense (jika ada). Pembekal pihak ketiga, termasuk Google, menggunakan kuki untuk memaparkan iklan berdasarkan lawatan anda sebelum ini ke laman ini dan laman lain. Kuki pengiklanan Google membolehkan Google dan rakan kongsinya memaparkan iklan kepada anda berdasarkan lawatan tersebut.

Anda boleh menutup iklan yang diperibadikan di Tetapan Iklan Google, atau menolak kuki pembekal pihak ketiga di www.aboutads.info. Kuki juga boleh dipadam atau disekat melalui tetapan pelayar anda.